Selasa, 26 Disember 2017

KENANGAN BERSAMA CHE TAHUN 1982

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

        Selepas keputusan SPM diumumkan Aku merasa amat kecewa kerana tidak layak ke tingkatan 6  Rendah secara automatik kerana aggregat aku tiga mata pelajaran terbaik lebih daripada dua belas. Jadi setiap hari aku menghantar Ariffin yang dah masuk Darjah 5 ke sekolah dan ambil semula bila balik sekolah.  Aku dan Nik Azman Nik Salleh ke rumah Penyelaras Tingkatan 6, Cikgu Mat Lazim untuk menghantar surat rayuan masuk ke Tingkatan 6 Rendah. Ketika itu aku habiskan masa dengan melukis kartun ke majalah untuk mencari duit belanja. Budak kampung aku yang layak ke Tingkatan 6 Rendah cuma Maimun Hassan seorang sahaja. Dia bekas pelajara SMK Tok Janggut. Aku rasa segan dan malu kerana gagal ke Tingkatan 6 Rendah. Sedangkan kawan sekampung Nurazimah Abdullah berjaya masuk ke USM dan ramai rakan-rakan kelas 3 Khas dulu dapat menyambung pelajaran ke Amerika Syarikat termasuk kawan sekolah rendah Alias Hassan. Ketika itu Nik Roslin kawan baik masa Tingkatan 3 melanjutkan pelajaran ke Amerika bersama Mazita Hussin kawan sekelas ketika 3 Khas dulu.. Jazlan Abdullah dan Nik Roslina juga turut ke Amerika Syarikat. Rakan lain ini Maheran dan Hasnan.[1]

       Kebetulan ketika itu musim menuai padi, jadi aku sibuk ke sawah potong padi. Che dah tua dan tak buat buat kerja sawah lagi. Che menghabiskan masa dengan mengajar di Masjid Gong Chapa dan menjadi Imam sembahyang jemaah dan mengubat orang sakit mengunakan rawatan perubatan Islam assyifa.. Selain dari itu Che meneruskan tugas mengajar Al-Quran yang kini dibayar elaun oleh Kafa sebanyak $80.00. Che semakin tua dan uzur, penyakit lelahnya semakin teruk. Ketika Abang Zahari yang banyak membantu menyara hidup kami sekeluarga.

       Setiap kali ke sawah padi aku membawa radio sekali supaya tidak sunyi. Antara lagu yang aku minati ketika itu ialah gerimis di Lautan nyanyian Sudirman Haji Arshad. Suasana di sawah padi amat tenang, udara pula bersih. Walaupun penat memotong padi, aku tetap mengerjakannya dengan tekun kerana itulah sumber pendapatan kami sekeluarga. Aku selalu bagitahu Che aku nak masuk universiti dan tak mahu membuat kerja sawah yang berat dan meletihkan.[2]




[1]Boigrafi Ahmad Yaakob,50.
[2] Ibid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan